Salam Jumaat.
Sedikit perkongsian dari Tuan Ghafani Awang Teh, Kesuma, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
DIRI kita ialah apa yang kita makan. Sehubungan itu Allah SWT menyeru
manusia supaya memakan makanan yang halal lagi baik (Al-Baqarah:168),
berhati-hati makan dan minum serta jangan membazir (Al-A'raf:31).
Kemudian Rasulullah SAW bersabda dalam beberapa hadis : “Berpuasalah
nescaya kamu sihat”. Pepatah ada menyatakan ‘perut itu adalah sumber
penyakit dan berpantang itu adalah penawar'.
Menurut sumber kajian perubatan, didapati 90 peratus penyakit manusia
berpunca daripada pencemaran sistem usus (usus besar dan kecil).
Penemuan ini membuktikan kebenaran al-Quran dan hadis Rasulullah bahawa
gaya pemakanan memberi kesan besar kepada kesihatan manusia.
Sistem usus memainkan peranan penting dalam menerima, menjana dan
menghadam makanan yang dimakan. Tabiat makan yang buruk dan tidak
seimbang, menimbulkan kesesakan dalam sistem usus dan sistem badan yang
lain.
Proses kerja sistem usus ini samalah dengan sistem perparitan atau
sistem pembentungan najis yang terdapat di negara kita. Segala lebihan
makanan, makanan yang bertoksik, tercemar dan kotor tersumbat di situ.
Sistem usus ini dari masa ke masa akan membentuk kerak najis, lapisan toksik dan kotoran lain serta melekat di dinding usus.
Toksik dan bahan tercemar dalam sistem usus yang gagal dikeluarkan dan
dibersihkan akan memasuki dalam sel-sel tubuh, saluran darah dan merebak
ke jantung, hati, buah pinggang, paru-paru dan sistem tubuh yang lain.
Sistem usus tidak berfungsi dengan baik dapat dilihat berdasarkan warna
najis. Najis yang sihat berwarna kuning seperti najis bayi. Jika najis
berwarna hitam atau berwarna coklat maka menandakan sistem usus
menghadapi masalah kesihatan.
Kelemahan sistem usus ini boleh menimbulkan pelbagai penyakit seperti
buasir, sembelit, gout, kolesterol tinggi, lemah jantung, kegemukan,
penyakit berkaitan hati, kencing manis, darah tinggi, buah pinggang,
kanser dan sebagainya.
Kempen-kempen yang dibuat oleh kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan
telah menyedarkan sebahagian masyarakat supaya meningkatkan kecergasan
dan kesihatan diri. Antara kempen yang sering dijalankan ialah pilih
makanan halal, kurangkan pengambilan garam dan gula, elak makanan
berlemak, kurangkan makan daging merah, berhenti merokok, banyakkan
makanan yang berserat (sayur dan buah-buahan), kawal berat badan,
bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan sebagainya. Semua
kempen tersebut berkisar boleh dihasilkan melalui amalan berpuasa yang
telah lama disyariatkan Islam.

Pengaruh
Memandangkan besar pengaruh puasa dalam menentukan kesejahteraan
manusia, beberapa agama seperti Kristian, Buddha, Hindu, Yahudi dan
agama kecil lain menggalakkan penganutnya berpuasa sama ada secara
sukarela atau berpantang memakan makanan tertentu.
Dalam rawatan penyakit kronik, pihak hospital dan pusat-pusat perubatan
menghendaki pesakitnya berpuasa dalam tempoh tertentu sebelum melakukan
rawatan penyakit.
Berdasarkan kebenaran al-Quran, hadis, penemuan kajian perubatan dan
diakui oleh agama lain, maka nyata ibadah puasa menjadi alat semula jadi
mencegah dan menyembuh penyakit.
Puasa Ramadan bertindak sebagai pembersih sistem usus dan sistem lain
dalam tubuh manusia. Proses pembersihan yang memakan masa kira-kira 14
jam sehari itu, dianggap tepat untuk memberi peluang kepada seluruh
sistem tubuh manusia kembali ke tahap sebenar melalui:
* Seluruh sistem badan, otot-otot, urat saraf, jantung, buah pinggang,
hati dan sistem badan yang lain berehat untuk memulih dan mengembalikan
kesegaran kepada tahap sebenar. Pada masa ini sistem badan menggunakan
tenaga, lemak dan gula dalam simpanan.
* Kira-kira 70 peratus badan manusia dipenuhi air. Dalam tempoh
berpuasa, air di badan kita automatik surut-kering dan memberi peluang
kepada kita menggantikan semula dengan air yang kaya dengan mineral.
* Selaput najis, toksik dan kekotoran yang melekat dalam sistem usus dan sel-sel badan, akan menggelongsor runtuh.
* Asid yang wujud dalam tubuh dialkalikan (distabilkan).
* Peredaran darah berjalan lancar.
Berdasarkan kesan besar puasa kepada kesihatan manusia, maka nyatalah
puasa merupakan agen semula jadi pencegah penyakit. Bagaimanapun bagi
mereka yang sedang menghadapi penyakit kronik, mereka perlu mendapat
nasihat pegawai perubatan sebelum memulakan ibadah puasa.
Mematuhi
Menurut Imam Ghazali dalam Ihya Ulumuddin, bagi mencapai keberkesanan
puasa, kita perlu mematuhi adab makan, iaitu segera berbuka puasa kerana
sistem badan memerlukan makanan pada waktu yang ditetapkan berbuka itu,
mulakan membaca 'bismillah' dan berdoa, makan makanan yang halal,
memulakan makan dengan buah-buahan dan berhenti makan sebelum kenyang,
minum air tidak terlalu banyak ketika makan, jangan minum air dalam
gelas sekali gus, minumlah seteguk demi seteguk, jangan bernafas atau
bersendawa ketika minum kerana dikhuatiri bakteria masuk dalam minuman
dan jangan minum ketika berdiri.
Puasa memberi nikmat besar kepada badan dan rohani manusia. Bagi
menjamin kesinambungan nikmat besar itu, maka kita boleh susuli pula
dengan puasa-puasa sunat mengikut kemampuan.
sumber : islam.gov.my
Rose A
SMS / Whatsapp / Telegram : 012 577 9380
0 comments:
Post a Comment