Friday, April 11, 2014

Info Sihat : Kepentingan Kalsium Pada Tubuh Manusia

Assalamualaikum...

Hari nie saya nak cerita sket mengenai Kalsium dan tulang.
 

Sangkaan segelintir orang bahawa tulang adalah bahagian tubuh yang tidak hidup ataupun hanya fosil ternyata salah. Ini kerana sama seperti bahagian tubuh lain, tulang yang juga tisu hidup ini sentiasa tumbuh, berubah, malah memperbaharui dirinya, umpama projek lebuh raya yang tidak pernah ada tarikh siap.

Di bahagian dalamnya terkandung saraf, salur darah dan sum-sum dengan sel darah merah dihasilkan. Ketika dilahirkan, manusia mempunyai 300 batang tulang yang kemudian bercantum sesama sendiri hingga membentuk 206 tulang apabila dewasa.

Sebahagian tulang bayi terdiri daripada tulang kartilaj iaitu tisu yang lembut dan fleksibel. Ketika kanak-kanak mengalami pertumbuhan tubuh yang pesat pada usia bayi dan persekolahannya, kartilaj membesar dan digantikan perlahan-lahan oleh tulang dengan bantuan kalsium dan sebaik usia mencecah 25 tahun, proses ini menjadi sempurna.

Sebanyak 90 peratus pertumbuhan pesat tulang berlaku dalam tempoh kanak-kanak membesar dan pada usia persekolahan. Namun malangnya apabila semakin membesar, penekanan terhadap kepentingan minum susu semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan perkembangan tulang yang sihat.




Kalsium adalah sejenis mineral yang mampu menguatkan tulang dan perlu diambil setiap hari. Ini kerana tubuh kita membuang sejumlah kecil kalsium setiap masa sebelum digantikan dengan kalsium yang baru dalam proses dinamakan ‘permodelan semula tulang’.

Perlu diingat, kalsium juga disingkirkan daripada badan menerusi proses semula jadi seperti rambut gugur, kuku, peluh dan kulit mati.

Sekiranya jumlah kalsium yang disingkirkan lebih banyak berbanding yang digantikan, tulang menjadi lemah secara perlahan-lahan dan terdedah kepada risiko mudah patah.

Mengambil susu atau pemakanan yang kaya dengan kalsium mampu membantu tubuh menyimpan lebih banyak kalsium supaya tulang terus kekal kuat.

Lebih menarik, kanak-kanak dan remaja yang mengamalkan pemakanan kaya kalsium akan menyimpan mineral itu dalam tulang mereka dan mampu membantu mengekalkan kekuatan tulang mereka untuk sepanjang hayat.

Pemakanan yang kaya kalsium ketika usia membesar, boleh memastikan tubuh tidak mengambil kalsium daripada tulang. Ini kerana tulang mempunyai simpanan kalsium sendiri dan menyimpan sebanyak kalsium yang boleh ketika kanak-kanak akan membantu mencapai jisim tulang terbaik.

Apatah lagi apabila mencecah penghujung usia remaja, simpanan akan ditutup menyebabkan kita tidak dapat menambah bekalan kalsium, tetapi hanya boleh mengekalkan jumlah yang ada supaya tulang tetap kekal sihat.

Selain pengambilan susu atau makanan yang kaya kalsium, tulang yang kuat juga boleh dikekalkan dengan mengambil pemakanan yang mampu memastikan kalsium dapat diserap secara maksimum.

Kalsium penting untuk mengekalkan jisim tulang untuk menyokong struktur rangka, apatah lagi tubuh sentiasa menggunakan kalsium untuk memastikan kesihatan jantung, darah, otot dan saraf.

Dengan menjaga pemakanan yang kaya dengan khasiat kalsium, kanak-kanak mampu mengekalkan tahap kalsium yang sihat tanpa perlu mengambil suplemen. Sumber terbaik bagi kalsium antaranya produk tenusu seperti yogurt, keju dan susu, sayur-sayuran hijau seperti bayam, brokoli dan kailan, kekacang dan pis seperti tauhu, kacang tanah dan kacang hitam, ikan seperti sardin dan salmon selain buah oren dan badam.

Selain itu, sesetengah nutrien dan vitamin mampu membantu serapan lebih tinggi kalsium dalam tubuh misalnya vitamin D. Ia selalunya didapati dalam makanan seperti ikan berlemak, salmon, kuning telur dan minyak hati ikan kod. Vitamin D juga boleh didapati melalui pendedahan secukupnya dengan pancaran matahari.

Di banyak negara termasuk Malaysia, susu, roti dan bijirin ditambah dengan kalsium bagi membantu ramai mendapat kalsium yang cukup, seterusnya membina masyarakat yang lebih sihat dan kuat.

Sementara itu, sodium dan klorida yang banyak ditemui pada garam makanan perlu dikawal pengambilannya kerana ia meningkatkan penyingkiran kalsium melalui air kencing sebelum ia sempat diserap atau digunakan oleh tubuh untuk menghasilkan tulang yang kuat.

Kafein daripada minuman ringan, kopi dan teh pula boleh menyebabkan kehilangan jisim tulang dalam kalangan mereka yang tidak mengambil dos kalsium secukupnya, seterusnya mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan tulang dalam jangka panjang.

Sumber : Harian Metro


Rose Azadir
Shaklee ID : 933408
SMS / Whatsapp : 012 577 9380
Facebook : Rose Azadir
E-mail : razadir@gmail.com

1 comment:

  1. nice info... memang perlu sangat minum susu yer untuk maintain kalsium dalam badan, especially untuk ibu mengandung dan orang-orang tua :)

    ReplyDelete