Assalamualaikum...
Hari nie saya nak berkongsi kisah/sejarah kenapa tanah Palestin menjadi rebutan...
Bumi dan tanah rahmat, bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi, tanah
yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang
istimewa, yang telah ditentukan oleh Allah sejak ribuan tahun lampau.
Bagi
umat Islam, di tanah inilah terbinanya Masjidil Aqsa, iaitu masjid
ketiga paling mulia di dunia ini, setelah Masjidil Haram dan Masjid
Nabawi.
Bagi penganut Yahudi pula, tanah tersebut merupakan ‘Tanah Yang Dijanjikan Tuhan’ kepada mereka.
Di
situlah nenek moyang mereka berasal (Bani Israel), dan di situlah
kampung halaman mereka. Mereka percaya, di tanah itulah terletaknya
Bukit Zion, dan situlah tertanamnya Temple of Solomon, iaitu kuil suci
mereka.
Atas kedua-dua sebab inilah, tanah tersebut menjadi
rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak dari dahulu, hinggalah membawa
kepada pertumpahan darah sekarang.
Bagaimana dengan Kristian pula?
Kristian juga, menganggap tanah tersebut sebagai tanah suci. Di Temple
of Nazareth, yang terletak di tanah tersebut, merupakan tempat kelahiran
Nabi Isa.
Di tanah itulah Nabi Isa menyampaikan ajarannya, dan di tanah itu jugalah Nabi Isa disalib (mengikut kepercayaan kristian).
Sejarah Awal
Sebenarnya
sejarah bani Israel wujud sedari zaman Nabi Ibrahim lagi. Namun, kita
susuri sedari kependudukan Bani Israel itu di Mesir, sepertimana yang
diutuskan Nabi Musa a.s kepada mereka.
Kita tahu melalui al-Quran,
bahawa Firaun dan tenteranya mengejar Nabi Musa dan kaumnya sehingga ke
Laut Merah, di mana ketika itu Nabi Musa menggunakan mukjizatnya
membelah dan menyeberangi lautan tersebut.
Setelah itulah Nabi Musa dan kaumnya Bani Israel mendiami tanah Palestin tersebut.
Kita
boleh baca sendiri dalam al-Quran, betapa kaum ini semakin lama semakin
besar kepala, meminta yang pelbagai daripada Nabi Musa dan sebagainya.
Kita
juga boleh lihat kisah Talut dan Jalut yang berlaku setelah kewafatan
Nabi Musa, sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran melalui surah
al-Baqarah.
Setelah Talut menawan kembali tanah Palestin daripada
kekuasaan Jalut, tampuk pemerintahan Palestin disambung pula oleh Nabi
Daud. Seterusnya disambung oleh Nabi Sulaiman, dengan bala tenteranya
dan kegemilangan kerajaannya (termasuk haiwan, jin dan angin).
Palestin dimiliki oleh Bani Israel, sehinggalah lebih kurang 60 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.
Pada
tempoh ini, kerajaan Rom menekan kependudukan Bani Israel di tanah
Palestin tersebut, sehinggalah akhirnya tanah Palestin dijarah oleh
tentera Rom dan kaum Bani Israel diusir keluar lalu tersebarlah kaum
Bani Israel, atau dikenali sekarang sebagai Yahudi, ke serata dunia.
Sejak itu, tanah Palestin menjadi milik kerajaan Rom.
Sehinggalah setelah kelahiran Nabi Isa, seterusnya kewujudan agama Kristian.
Lebih
kurang pada tahun 300 Masihi, kerajaan Rom di bawah pemerintahan Raja
Constantine yang menjadikan Constantinople sebagai pusat pemerintahan,
mengalami Kristianisasi.
Sejak dari tempoh tersebut, kerajaan Rom menguasai Palestin.
Kedatangan Islam
Palestin
kekal di bawah milik kerajaan Rom sehinggalah kelahiran Nabi kita
Muhammad s.a.w. Setelah Rasulullah berjaya menubuhkan empayar Islam,
beliau wafat pada 632 Masihi.
Empayar Islam semakin berkembang dan
Palestin berjaya ditawan dari kerajaan Rom pada tahun 638 Masihi. Maka
sedari itulah Palestin menjadi milik Islam, sebagai tanah suci yang
ketiga selepas Makkah dan Madinah.
Sepanjang tempoh tersebut,
kerajaan Rom yang telah menjalani Kristianisasi mengalami pelbagai
perubahan daripada sudut struktur pemerintahan.
Bangsa-bangsa asal Eropah seperti Vikings, Magyar dan sebagainya dikristiankan, dan pemerintahan dikuasai oleh golongan gereja.
Sejak
dari 1000 Masihi, tentera Kristian telah melakukan pelbagai usaha
menawan kembali Palestin.
Pada tahun 1063, Pope Alexander II memberikan
‘fatwa’ mengerahkan penganut Kristian untuk berjuang mendapatkan kembali
Palestin, dan barangsiapa yang berjuang diberikan status kemuliaan dan
pengampunan tertinggi.
Itulah yang dikenali sebagai Perang Salib (Crusades).
Akhirnya pada tahun 1099, tentera Salib berjaya menawan Palestin, dan menguasai tanah suci tersebut selama hampir 200 tahun.
Menawan Semula
Setelah Palestin ditawan, kerajaan Islam yang sedia ada konflik dalaman pada ketika itu, semakin hilang semangat.
Keadaan berlanjutan sehinggalah lahirnya seorang pemimpin agung, yang dikenali sebagai Salahuddin Al Ayyubi.
Salahuddin
Al Ayyubi, menyatukan masyarakat Arab yang ketika itu berpecah belah
akibat perbezaan mazhab dan aliran, seterusnya membawa tentera Islam
menyerang kembali Palestin.
Akhirnya, pada sekitar tahun 1187, ibu
negara Palestin berjaya ditawan, dan pada tahun 1291 kubu terakhir
tentera Salib di tanah suci tersebut berjaya dimusnahkan.
Sejak itulah tanah suci Palestin kekal di bawah pemerintahan Islam dengan aman damai.
Malahan,
penduduk asal Palestin iaitu Yahudi/Bani Israel dibenarkan pulang ke
kampung halaman mereka, walaupun masih ramai yang bermastautin di luar.
Kerajaan Islam berkembang meluas, hinggalah masuk ke era pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Zaman Turki Uthmaniyyah mengalami kejatuhan sejak dari abad ke-19 lagi.
Proses
modenisasi semakin berlaku, dan kebergantungan terhadap kuasa barat
semakin wujud. Krisis-krisis dan konflik dalaman melemahkan lagi
kekuasaan empayar Turki Uthmaniyyah.
Khalifah pada masa tersebut
hanyalah pada nama. Empayar Islam semakin lemah, di bawah kekuasaan
barat seperti Britain dan Perancis.
Perang Dunia Pertama
Akhirnya,
pada tahun 1914, tercetusnya Perang Dunia Pertama. Perang ini terdiri
daripada dua kuasa besar; iaitu Pakatan Bertiga Britain-Perancis-Rusia
menentang Pakatan Pusat iaitu Jerman dan Austria/Hungary.
Setelah
perang berterusan, negara-negara lain seperti Amerika Syarikat dan Itali
menyertai Pakatan Bertiga, manakala Kerajaan Turki Uthmaniyah pula
menyertai Pakatan Pusat.
Berada di bawah Pakatan Pusat, kerajaan
Turki Uthmaniyyah diserang hebat oleh Pakatan Bertiga
Britain-Perancis-Russia. Kerajaan Islam Timur diserang dan ditawan oleh
Britain.
Kerajaan Islam Barat yang menjangkau hingga ke Algeria dan Sudan manakala negara-negara utara Afrika dikuasai oleh Perancis.
Kerajaan Islam juga diserang dari utara oleh Rusia, menyaksikan Rusia menawan kawasan utara kerajaan Islam.
Perlu
diberi perhatian bahawa pada ketika ini, masih belum wujud negara
bangsa dan kerajaan Islam disatukan di bawah satu pemerintahan khalifah,
manakala setiap kawasan pula ditadbir oleh gabenor masing-masing.
Perpecahan Negara Arab
Pada
ketika tempoh inilah, kerajaan Turki Uthmaniyyah mengalami konflik yang
semakin hebat. Britain melalui perisiknya yang dikenali sebagai
Lawrence of Arabia, menyuburkan semangat nasionalisme di negara-negara
Arab.
Pejuang kebangsaan/nasionalisme Arab pula menyerang kerajaan Turki Uthmaniyyah.
Pemerintah Arab ketika itu, Emir Faisal I, berpaling tadah dan memihak kepada Britain.
Sejak
itulah kerajaan Arab menjadi tali barut Britain. Pada tahun 1915,
Britain mula menduduki kawasan Iraq. Akhirnya pada 1917, Britain
menduduki semula kawasan Palestin.
Tentera Britain, diketuai
General Allenby, memasuki Palestin pada 9 Disember 1917 lalu memberi
ucapan, “Hari ini, Perang Salib sudah berakhir”.
Pada 1917,
Britain mengisytiharkan Deklarasi Balfour, iaitu perjanjian antara
kerajaan Britain dengan ketua persatuan Yahudi Britain ketika itu, yang
mana antaranya menjanjikan tanah Palestin kepada Yahudi.
Penempatan
Yahudi di Palestin meningkat, dari 50,000 penduduk sebelum itu kepada
mencecah setengah juta penduduk, manakala penduduk Islam Palestin ketika
itu hampir mencecah 1.4 juta.
Wakil daripada Yahudi ketika Deklarasi tersebut merupakan seorang Yahudi bernama Chaim Weizzmann.
Weizzman
juga merupakan seorang saintis, malahan saintis pertama yang
menghasilkan bahan kimia acetone, seterusnya acetone digunakan sebagai
cordite, iaitu sejenis bahan letupan yang menyumbang besar kepada
kejayaan Britain dalam perang tersebut.
Weizzman mendesak Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour, supaya diadakan Deklarasi tersebut. Dek terhutang budi ke atas sumbangan Weizzman, kerajaan Britain bersetuju.
Pada
mulanya, Britain menawarkan tanah di Uganda kepada Weizmann, namun
Weizmann menolak dan mahukan Palestin. Dikatakan, Weizmann bertanya
kepada Balfour:
“Encik Balfour, katakanlah saya menawarkan Paris dan London kepada encik, yang mana satukah yang encik mahukan?”
“Tetapi, kami sememangnya sudah memiliki London!”
“Betul itu, tetapi ketika London masih lagi sebuah kawasan paya, kami telahpun memiliki tanah Palestin!”
Akhirnya, British membenarkan kaum Yahudi berhijrah ke tanah Palestin.
Pada
tahun 1919, Emir Faisal I ketika itu pula menandatangani perjanjian
antara beliau dengan Chaim Weizzmann, menyatakan sokongan sepenuhnya
beliau dan kerajaan Arab kepada Deklarasi Balfour.
Pada tahun 1919, berakhirnya Perang Dunia Pertama.
Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah menerima tamparan hebat setelah kehilangan kawasan-kawasannya yang luas, termasuklah Palestin.
British
dan Perancis mula menjalankan kolonisasi di tanah-tanah jajahannya.
Bertitik tolak daripada situ wujudlah negara bangsa, apabila
sempadan-sempadan digariskan memisahkan sempadan agama.
Kejatuhan Turki Uthmaniyyah
Pada tahun 1918, tentera kolonial Britain menduduki pusat pemerintahan Turki Uthmaniyyah, iaitu Istanbul.
Pada
tahun 1922, setelah tamat Perang Dunia Pertama, sebuah Persidangan
Lausanne diadakan, yang antaranya mempunyai beberapa tuntutan seperti
sistem khalifah ditamatkan, khalifah mestilah dibuang negeri, harta
khalifah dirampas, dan kerajaan turki baru akan ditubuhkan atas dasar
sekular.
Ya, persidangan tersebut menjanjikan kemerdekaan ke atas negara Turki.
Seorang
ahli Parlimen Turki pernah bertanya kepada Lord Curzon, ketua perunding
pihak pakatan ketika itu, “Kenapa hanya Turki dimerdekakan, sedangkan
negara-negara Arab yang lain masih di bawah pemerintahan kolonial?”
Lord
Curzon menjawab, “Hakikatnya Turki telah dimusnahkan dan tidak akan
bangkit lagi, kerana kita telah menghancurkan kekuatannya – Khalifah dan
Islam”.
Dalangnya utamanya, Mustafa Kamal Attartuk. Dia
mengeluarkan ugutan ke atas kabinet Turki ketika itu, lalu merombak
parlimen sedia ada yang tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.
Parlimen kedua yang ditubuhkan juga tidak bersetuju dengan persidangan tersebut.
Akhirnya,
Mustafa Kamal Attartuk mengadakan konspirasi politik lalu merampas
tampuk pemerintahan. 3 Mac 1924, kerajaan khalifah secara rasminya
ditamatkan.
Pada pagi hari tersebut juga, khalifah terakhir, Khalifah Abdul Mejid II, diusir keluar dan dibuang negeri.
Mustafa Kamal Attartuk mengambil mengambil takhta, dan proses pengsekularan bermula.
Holocaust
Keadaan berterusan, sehinggalah naiknya seorang pemerintah Jerman ketika itu, iaitu Adolf Hitler.
Ketika
tercetusnya perang dunia kedua oleh beberapa sebab, Hitler melaksanakan
pelan pemusnahan kaum yang dikenali sebagai Action T4.
Pelan ini merencanakan pembunuhan Euthanasia beramai-ramai keatas golongan tertentu, majoritinya Yahudi.
Setelah tamat Perang Dunia Kedua, dianggarkan hampir seramai 6 juta Yahudi di seluruh Eropah mati dibunuh.
Setelah mengalami kerugian yang besar, Britain berundur dari Palestin dan tanah-tanah jajahannya yang lain pada 1948.
Penglibatan Amerika Syarikat
Amerika Syarikat, selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel.
Pada asalnya, Israel tidaklah wujud sebagai sebuah negara yang hakiki.
Setelah
Holocaust yang dilakukan oleh Hitler tamat, jumlah penduduk Yahudi yang
ada adalah sedikit, serta mereka hidup dalam kesusahan dan ketakutan.
Pada ketika itulah, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Harry Truman.
Pada
November 1947, tuntutan tersebut dibawa ke persidangan Persatuan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) lalu pemisahan Palestin dideklarasikan.
Pada 16 May 1948, kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin, dengan sokongan dari PBB.
Presiden Harry Truman menyokong sepenuhnya penubuhan Israel, maka wujudlah penempatan Israel di tanah Palestin sehingga kini.
Presiden Israel yang pertama ialah Chaim Weizmann.
Palestin Sekarang
Sedari
peristiwa Holocaust, ramai Yahudi berhijrah ke Amerika atas dasar
terbuka negara tersebut terhadap mereka, serta ramai juga yang pulang ke
tanah air di Israel.
Yahudi di Amerika diterima dengan tangan
terbuka, bantuan dan pekerjaan diberikan kepada mereka atas dasar belas
kasihan akibat Holocaust tersebut.
Dari situlah, Yahudi di Amerika berkembang dan memegang tampuk ekonomi dan pentadbiran Amerika.
Amerika,
selaku kuasa besar dunia setelah Perang Dunia Kedua, memberikan
sokongan tanpa putus-putus kepada negara Israel, yang didirikan di atas
tanah Palestin yang dirampas secara haram.
Sehingga kini, Israel
terus-terusan menyerang Palestin dalam usaha meluaskan sempadannya.
Palestin pula berjihad, dalam usaha menawan kembali Masjidil Aqsa.
Sejak kerajaan khalifah Islam tumbang, tiada sesiapa lagi yang mahu menyokong Palestin.
Negara-negara Islam yang lain tunduk takut dan akur kepada Amerika.
Sampai
bila keadaan ini akan berakhir? Hanya dua; sama ada Palestin akan terus
dihapuskan dan Masjidil Aqsa dimusnahkan dalam usaha mereka mencari
Temple of Solomon, ataupun tertegaknya kembali kerajaan khalifah Islam
yang menyokong perjuangan Palestin.
Di manakah kita? Kita boleh
berdiam diri tidak berbuat apa-apa, sekaligus menjadikan kesudahan yang
pertama tadi sebagai realiti.
Ataupun, kita boleh berusaha melakukan sedaya upaya menyokong perjuangan Palestin, yang membawa kepada kesudahan yang kedua.
Fikir-fikirkan.
Sumber : iluvislam
Rose Azadir
SMS / Whatsapp : 012 577 9380
Facebook : Rose Azadir
E-mail : razadir@gmai.com
Thursday, July 10, 2014
Home »
» Kenapa Tanah Palestin Begitu Istimewa? Jom Susuri Sejarahnya
great piece of sharing for this useful info....
ReplyDeletehakikatnya yahudi sengaja mencipta alasan agama untuk mendiami palestin... mmg benar asal mereka adalah mesir bukan palestin... yahudi sebenarnya tiada negara. mereka berpecah belah... dan terdirinya negara haram Israel adalah krn British dan Amerika. kedua2 negara ini mahu menguasai kawasan subur lagi kaya iaitu tanah arab melalui agen mereka iaitu yahudi..
ReplyDelete