Friday, April 24, 2015

Apakah Hukum Memakai Contact Lens Ketika Puasa atau Solat

Assalamualaikum....

Apakah hukum tentang penggunaan kanta lekap (contact lens) semasa solat, puasa, adalah sah ibadatnya? Di dalam Islam bolehkah seseorang itu menggunakan contact lens samaada mempunyai masalah rabun atau sekadar pakai suka-suka?


Ada dua tujuan memakai kanta lekap;

1) Tujuan perubatan - iaitu orang yang memakainya kerana masalah mata yang dihadapinya, iaitu ia memakainya sebagai ganti cermin mata. Hukumnya ialah harus dengan syarat tidak mendatangkan mudarat pada mata.

2) Tujuan perhiasan - iaitu memakainya sekadar suka-suka, bukan kerana keperluan (yakni bukan kerana masalah mata). Ia masuk dalam hukum perhiasan. Perhiasan diharuskan selagi tidak melanggar batasan Syara', iaitu;

a) Tidak mendedahkan aurat dan berlaku tabarruj
b) Tidak mendatangkan fitnah iaitu menimbulkan ghairah orang lain - terutamanya wanita - (yakni tidak harus wanita memakai perhiasan yang boleh mendatangkan ghairah atau mencuri perhatian terhadapnya).
c) Tidak mengubah ciptaan Allah.
d) Tidak berupa penipuan atau pemalsuan
e) Tidak berlebihan
f) Tidak memudaratkan

Merujuk kepada syarat-syarat di atas, sebahagian ulamak telah memfatwakan haram memakai contact lens yang berwarna (yakni mengubah warna mata yang asal) kerana ia mengubah ciptaan Allah, berupa penipuan/pemalsuan dan meniru perbuatan orang kafir di samping ia memudaratkan sebagaimana disahkan oleh para doktor sendiri. Di tambah lagi bagi perempuan, ia boleh menimbulkan fitnah (iaitu mencuri perhatian lelaki kepadanya). [1]

3) Adapun penggunaan contact lens semasa mengambil wudhuk, solat dan puasa; ia tidak menjejaskan ibadah-ibadah tersebut kerana bahagian dalam mata tidaklah wajib dibasuh atau disampaikan air ketika mengambil wudhuk atau ketika mandi (yang wajib ialah bahagian luar sahaja iaitu kelopak mata). Begitu juga dengan puasa; menurut ulamak memasukkan sesuatu ke dalam mata tidaklah membatalkan puasa. Solat pun begitu juga; tidak ada yang akan menjejaskan solat kerana contact lens.

Wallahu a'lam.

Rujukan:
1) Fatwa Syeikh Abdullah bin Abdurrahman al-Jibrin (http://www.ibn-jebreen.com)
2) Fatwa Syeikh Mohammad Soleh al-Munajjid (http://islamqa.com)
3) Fatwa Syeikh Dr Ahmad al-Hija al-Kurdi (http://www.islamic-fatwa.com)

1 comment:

  1. Boleh saya tanya? Kalau mata kita sebelah warna lain sebelah warna lain, boleh ke kalau kita mahu memakai kanta lekap berwarna supaya tidak membuat orang lain takut? Tapi, kan tak boleh ubah ciptaan tuhan.. Saya cuma mahu bertanya. Kerana mungkin saya akan buat cerita tentang orang yang mempunyai warna mata yang berbeza..

    ReplyDelete