Kisah
hidup Saidatina Aisyah r.a. telah membuktikan bahawa wanita mampu
menguasai bidang keilmuan mengatasi kaum lelaki serta mampu menjadi
pendidik kepada para ilmuan dan pakar-pakar pelbagai bidang. Kehidupan
beliau juga menjadi bukti kemampuan wanita dalam mempengaruhi pandangan
masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan, serta membekalkan sumber
inspirasi and kepimpinan yang mantap. Wanita yang kaya dengan pekerti
tinggi, lemah lembut serta sopan santun ini juga telah membawa
kebahagiaan dan ketenangan hati yang tidak putus kepada suaminya.
Saidatina
Aisyah r.a. bukan seorang graduan dari mana-mana universiti
memandangkan belum wujud lagi institusi sedemikian pada ketika hayat
beliau seperti yang ada sekarang. Namun begitu, lafaz ucapan beliau
menjadi bahan kajian dalam bidang sastera, fatwa- fatwa syariah yang
beliau keluarkan dikaji di institusi-instusi perundangan, hidup dan
hasil pengkajian beliau diteliti oleh para mahasiswa dan pendidik dalam
pengkajian sejarah Islam sejak seribu tahun yang lalu.
Khazanah
pengetahuan yang dimiliki Saidatina Aisyah r.a. diperoleh sejak beliau
masih seorang kanak-kanak. Pada usia mudanya, Aisyah r.a. dibesarkan
oleh bapanya, seorang Muslim yang dihormati dan disegani ramai lantaran
ketinggian ilmunya, kelembutan budi pekertinya serta peribadinya yang
disegani ramai. Tambahan pula, beliau sahabat yang paling rapat dengan
Rasulullah s.a.w. serta merupakan pengunjung setia ke rumah Rasulullah
s.a.w. sejak zaman awal kerasulan baginda.
Semenjak
beliau muda, Aisyah r.a. yang terkenal dengan paras rupanya yang
menawan serta daya ingatan yang kuat, diletakkan di bawah jagaan
Rasulullah s.a.w. sendiri. Sebagai isteri serta pendamping baginda
Rasulullah, Aisyah r.a. berpeluang menimba ilmu pengetahuan dari baginda
sehingga ke tahap yang tidak mungkin ditandingi oleh wanita-wanita
lain.
Aisyah
r.a. menjadi isteri Rasulullah s.a.w. di Mekah di sekitar usia beliau
mencecah sepuluh tahun, namun hanya mula menjalankan tanggungjawab
sebagai seorang isteri setelah tahun kedua Hijrah, iaitu ketika usia
beliau sekitar empat belas hingga lima belas tahun. Pada waktu sebelum dan
selepas pernikahan beliau, Aisyah r.a. tetap mempamerkan kegirangan
serta sifat semulajadi seorang kanak-kanak. Beliau sedikit pun tidak
teruja dengan statusnya sebagai isteri kepada seorang Nabi Allah yang
begitu disanjungi dan dikasihi oleh para sahabat. Ini termasuklah kedua
ibu bapa Aisyah sendiri yang menumpukan sepenuh kasih sayang serta hormat
mereka kepada Rasulullah s.a.w. berbanding orang lain.
Berkenaan
pernikahan beliau kepada Rasulullah s.a.w., Aisyah r.a. menceritakan,
sejurus sebelum beliau ditetapkan meninggalkan rumahnya, beliau telah
keluar ke halaman rumah untuk bermain-main dengan rakannya yang sedang
berlalu di situ:“Aku sedang bermain di atas jungkang-jungkit dan
rambutku yang panjang telah menjadi kusut” kata beliau. “Mereka datang
mendapatkan ku dari permainan ku lalu menyiapkan ku.”
Saidatina
Aisyah r.a. dipakaikan pakaian pengantinnya yang diperbuat dari sutera
halus berjalur merah dari Bahrain. Seterusnya beliau dibawa oleh ibunya
ke rumahnya yang baru siap dibina serta disambut oleh wanita-wanita
Ansar di muka pintu. Mereka manyambutnya dengan ucapan “Demi kebaikan
dan kebahagiaan dan semoga diiringi kesenangan.” Dalam kehadiran baginda
Rasulullah yang sedang tersenyum lembut, semangkuk susu dibawa kepada
mereka. Rasulullah s.a.w. minum darinya lalu memberikan susu itu kepada
Aisyah. Aisyah dengan segan silu menolak pelawaan Rasulullah itu. Namun
apabila Rasulullah sekali lagi menyuruh Aisyah minum dari semangkuk susu
itu, Aisyah pun berbuat demikian. Seterusnya mangkuk itu diberikan
kepada kakak beliau, Asma, yang berada di sisinya serta diedarkan kepada
mereka yang hadir di situ. Itulah keraian yang menandai pernikahan
baginda Rasulullah dengan saidatina Aisyah yang dijalankan dalam penuh
kesederhanaan.
Status
beliau sebagai isteri Rasulullah s.a.w. tidak merubah sifat riang
Aisyah sebagai seorang kanak-kanak. Rakan-rakan beliau sering berkunjung
ke rumah untuk bermain-main dengannya.
‘Sedang
aku bermain dengan permainanku,’cerita Saidatina Aisyah r.a.,’bersamaku
ada kawan-kawanku, dan datang baginda Rasulullah kepadaku, lalu mereka
akan keluar meninggalkanku, akan tetapi Rasulullah keluar mendapatkan
rakan-rakanku itu dan membawa mereka kembali kerana baginda senang
denganku bermain dengan mereka.’ ‘Kadangkala baginda berkata, “Tinggal
di situ, wahai Aisyah,” dan sebelum sempat rakan-rakanku meninggalkanku,
baginda akan turut serta dalam permainan kami’. Kata Aisyah r.a. ‘Suatu
hari, baginda Rasulullah datang ketika aku sedang bermain-main dengan
anak patungku, dan baginda berkata, “Wahai Aisyah, permainan apakah
ini?” “Inilah kuda-kuda Sulaiman,” kata ku dan baginda pun tertawa.’ Ada
ketika apabila baginda pulang ketika Aisyah sedang bermain dengan
rakan-rakannya, baginda Rasulullah akan berselindung di sebalik jubahnya
agar tidak mengganggu Aisyah dan rakan-rakan beliau yang sedang
bermain.
Detik-detik
awal kehidupan Aisyah r.a. di Madinah turut melalui saat-saat yang
mencabar. Pada suatu ketika, bapa beliau bersama dua orang sahabat yang
tinggal bersamanya ketika itu telah diserang demam panas yang sering
melanda Madinah pada musim-musim tertentu. Ketika Aisyah menziarahi
bapanya, beliau terkejut melihat ketia-tiga orang lelaki itu sedang
terlantar dalam keadaan tenat dan lemah. Aisyah bertanyakan khabar
bapanya itu namun jawapan yang diberi bapa beliau tidak dapat difahami.
Dua orang sahabat yang sedang tenat itu juga mengeluarkan baris-baris
puisi yang difikirkan Aisyah hanyalah ratapan seorang yang sedang sakit
tenat. Saidatina Aisyah berasa gusar lalu pulang menceritakan peristiwa
itu kepada baginda Rasulullah s.a.w.:
‘Mereka
maracau-racau, tidak keruan, disebabkan demam panas itu,’ Kemudian
Rasulullah bertanya kepada Aisyah apa yang diperkatakan oleh bapanya
serta dua orang sahabat yang sedang sakit tadi. Baginda berasa lega
setelah Aisyah mengulangi setiap apa yang dikatakan oleh mereka walaupun
kata-kata itu belum mampu difahami oleh Aisyah sendiri. Peristiwa ini
menggambarkan daya ingatan Aisyah yang begitu kuat yang bakal memainkan
peranan penting dalam meriwayatkan hadith-hadith baginda Rasulullah
s.a.w.
Di
kalangan isteri-isteri baginda di Madinah, Aisyah nyata sekali
merupakan kesayangan Rasulullah s.a.w. Dari masa ke semasa, salah
seorang sahabat baginda akan bertanya,:
‘Wahai
Rasulullah, siapakah yang paling kau sayangi di dunia ini?’ Jawab
baginda sering berbeza-beza kerana baginda begitu mengasihi anak-anak
serta cucu-cucunya, sahabat baginda Abu Bakar, Ali, Zaid serta anak
beliau Usamah. Namun di kalangan isteri baginda yang sering disebut
hanyalah Aisyah. Aisyah sendiri begitu mengasihi baginda Rasulullah
serta sering meminta kepastian tentang kasih baginda terhadapnya. Pernah
suatu ketika Aisyah r.a. bertanya kepada Rasulullah, ‘Bagaimanakah
kasihmu terhadapku?’
‘Seperti
ikatan simpulan tali,’ jawab baginda yang bermaksud kasihnya itu kuat
dan kukuh. Lalu pada waktu-waktu seterusnya Saidatina Aisyah r.a. akan
bertanya kepada Rasulullah, ‘Bagaimana keadaan simpulan itu?’ dan jawab
baginda ‘Demi Allah, masih sama (kukuh)’.
Begitu
kasihnya Aisyah kepada baginda Rasulullah sehinggakan lahir rasa
cemburu dan tidak berpuas hati sekiranya perhatian Rasulullah dicurahkan
kepada orang lain melebihi dirinya sendiri. Aisyah bertanya kepada
baginda,:
‘Wahai
Rasul Allah, katakan sendiri padaku. Sekiranya engkau berada di antara
dua lembah, yang satunya tidak pernah diragut rumputnya sedangkan yang
satu lagi sudah pernah diragut rumputnya, dimanakah akan engkau lepaskan
ternakanmu?’
‘Di
lembah yang rumputnya belum pernah diragut,’ jawab Rasulullah. ‘Namun
begitu,’kata beliau ‘aku tidaklah seperti isteri-isterimu yang lain.
Setiap orang dari mereka pernah mempunyai suami yang lain sebelum mu
kecuali diriku.’ Rasulullah hanya tersenyum tanpa berkata apa-apa.
Cerita Aisyah lagi tentang sikap cemburunya itu:
‘Aku
tidak mencemburui isteri-isteri Rasulullah yang lain sebagaimana aku
mencemburui Khadijah, disebabkan baginda sering menyebut-nyebut nama
Khadijah serta telah diperintahkan Allah untuk menyampaikan berita
gembira kepada Khadijah tentang mahligainya di syurga yang bertatahkan
permata. Setiap kali baginda Rasulullah membuat sembelihan, pasti akan
diberikan sebahagian daripada daging sembelihan itu kepada teman-teman
rapat Khadijah. Berkali-kali pernah ku katakan kepada baginda,
“Seolah-olah tidak pernah ada wanita lain di dunia in selain Khadijah,”
Pernah
suatu ketika Aisyah mengadu tentang sikap Rasulullah yang begitu
memandang tinggi terhadap ‘seorang wanita tua Quraisy’, baginda berasa
tersinggung lalu berkata: ‘Dialah isteri yang mempercayai diriku
sedangkan orang lain menafikan diriku. Sedangkan orang lain mendustai
ku, dia meyakinkan kebenaranku. Sedang aku dipulaukan, dia membelanjakan
segala harta kekayaannya untuk meringankan beban sengsara ku.’
Walaupun
Aisyah memiliki sifat cemburu yang sebenarnya tidak membawa kepada
keburukan, beliau sesungguhnya seorang yang amat pemurah dan penyabar.
Beliau mengharungi kehidupan yang serba kekurangan bersama isteri-isteri
Rasulullah yang lain. Beliau tidak betah hidup tanpa sesuap makanan pun
dalam jangka waktu yang panjang. Berhari-hari lamanya dapur rumah
beliau tidak berasap dan beliau hidup bersama Rasulullah di atas buah
tamar dan air semata-mata. Hidupnya yang miskin tidak membawa sebarang
tekanan atau memalukan Aisyah r.a.; hidup berdikari tidak mengganggu
cara hidup beliau walau sedikit pun.
Pernah
suatu ketika, Rasulullah telah memutuskan perhubungan dengan
isteri-isteri baginda sehingga sebulan lamanya. Ini disebabkan mereka
meminta sesuatu yang Rasulullah tidak mampu berikan. Peristiwa ini
berlaku selepas peperangan di Khaibar dimana kemenangan umat Islam
membawa harta rampasan serta membuahkan keinginan terhadap harta
kekayaan. Setelah kembali dari beruzlah, baginda Rasulullah pertama
sekali menuju ke rumah Aisyah. Beliau begitu gembira melihat baginda
telah kembali, namun Rasulullah mengkhabarkan kepadanya tentang
penerimaan wahyu yang menyuruh baginda memberikan Aisyah dua pilihan.
Baginda seterusnya membacakan ayat :
“Hai
Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu: “Jika kamu sekalian mengingini
kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya kuberikan
kepadamu mut’ah dan aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika
kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasulnya-Nya serta
(kesenangan) di negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan bagi
siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar.” (al-Ahzab 28-29)
Jawab Aisyah:
‘Sesungguhnya
aku memilih Allah dan RasulNya dan kehidupan di akhirat,’ dan jawabnya
itu disetujui isteri-isteri baginda yang lain.
Beliau
setia terhadap pilihannya itu sepanjang hidupnya bersama Rasulullah dan
begitu juga setelah kewafatan baginda. Apabila umat Islam dilimpahi
harta kekayaan yang banyak, beliau pernah dihadiahkan seratus ribu
dirham. Walaupun ketika itu beliau sedang berpuasa dan hidup dalam
kekurangan, seluruh pemberian itu disedekahkan kepada fakir miskin.
Sejurus selepas itu, seorang pembantu rumahnya bertanya, ‘Bolehkan
engkau menggunakan satu dirham untuk membeli daging buat berbuka puasa?’
‘Jika
aku terfikirkan hal ini tadi, pasti aku sudah melakukannya,’ jawab
Aisyah r.a. Kasih sayang Rasulullah terhadap Aisyah berkekalan sehingga
akhir hayat baginda. Ketika baginda sedang nazak, baginda telah pulang
ke rumah Aisyah atas izinisteri-isteri baginda yang lain. Kebanyakan
masa baginda hanya terlantar di katil dengan kepala baginda di atas
pangkuan Aisyah. Saiditina Aisyah telah meminta kayu siwak dari abangnya
(or adik lelaki?) serta mengunyah kayu siwak itu untuk melembutkannya
lalu diberikan kepada Rasulullah. Walaupun sudah berkeadaan tenat,
baginda menggosok gigi baginda dengan bersungguh-sungguh. Tidak lama
kemudian, baginda jatuh pengsan dan tidak sedarkan diri dan Aisyah
melihat itu adalah tanda-tanda ajal baginda telah sampai. Namun sejam
kemudian, baginda kembali membuka mata.
Aisyahlah
yang menyaksikan dan menyampaikan kisah saat-saat akhir sebelum
kewafatan insan mulia ini, kekasih Allah moga dilimpahi rahmatNya.
Setelah
baginda sedar kembali, Aisyah mengingati Izrail telah berkata
kepadanya: ‘Tidak seorang Nabi itu diambil nyawanya melainkan dia telah
ditunjukkan tempatnya di syurga serta diberikan pilihan samada untuk
hidup atau mati,’
‘Baginda
tidak akan memilih untuk bersama kita,’ kata Aisyah pada dirinya.
Kemudian Aisyah terdengar baginda berkata, ‘Demi pertemuan agung di
syurga, demi hamba-hambanya yang dilimpahi rahmatNya, para Nabi, para
syuhada’ dan orang-orang yang beriman….’ Dan sekali lagi beliau
terdengar baginda berkata ‘ya Tuhanku, demi pertemuan agung di syurga…’
Inilah kata-kata terakhir baginda yang didengar oleh Saidatina Aisyah
r.a. Sedikit demi sedikit, kepala Rasulullah semakin berat di pangkuan
Aisyah, sehinggalah sahabat-sahabat yang lain mula menitiskan air mata.
Lalu Aisyah meletakkan kepala Rasulullah di atas bantal dan turut serta
menangisi permergian baginda.
Di
lantai rumah Aisyah, berhampiran tempat pembaringan Rasulullah ketika
baginda sedang nazak, sebuah kubur digali dan di situlah bersemadi jasad
penutup segala Nabi, di kala umatnya sedang dalam kegelisahan dan
kesedihan yang mendalam.
Aisyah
hidup selama hampir lima puluh tahun setelah kewafatan Rasulullah
s.a.w. Sepuluh tahun hidup beliau sebagai isteri Rasululluah. Sebahagian
besar waktu itu diluangkan dengan mempelajari dua sumber penting
petunjuk Allah, iaitu al-Quran dan sunnah Rasulullah. Tiga orang
daripada isteri-isteri Rasulullah yang menghafaz al-Quran, dan salah
seorang daripadanya adalah Aisyah r.a.(di samping Ummu Salamah dan
Hafsah). Seperti Hafsah, Aisyah juga mempunyai salinan al-Quran yang
ditulis setelah kewafatan Rasulullah.
Berkenaan
dengan hadith baginda Rasulullah, Aisyah merupakan salah seorang
daripada empat orang sahabat (termasuk Abu Hurairah, Abdullah ibn Umar
dan Anas Ibn Malik) yang meriwayatkan lebih dua ribu hadith. Kebanyakan
hadith-hadith ini berkaitan amalan-amalan peribadi Rasulullah yang hanya
mampu diketahui oleh Aisyah r.a. Satu aspek penting berkenaan hadith
yang diriwayatkan Aisyah ialah hadith-hadith tersebut disampaikan dalam
bentuk tulisan oleh, antara lainnya, anak saudara beliau, Urwah ibn
az-Zubair yang merupakan salah seorang ulama’ terkenal di kalangan
tabi’in.
Ramai
di kalangan sahabat Rasulullah dan pengikut-pengikut mereka yang
menimba dari ilmu pengetahuan Aisyah r.a. Abu Musa al’Ashari pernah
berkata: ‘Sekiranya kami di kalangan sahabat Rasulullah menghadapi
kemusykilan, maka akan kami bawa kepada Saidatina Aisyah r.a.’
Urwah
ibn az-Zubair menegaskan bahawa Aisyah bukan sahaja arif dalam bidang
fiqh, bahkan juga dalam bidang tibb(perubatan) dan syair. Ramai di
kalangan sahabat baginda Rasulullah turut merujuk kepada Aisyah
berkenaan masalah pewarisan harta yang memerlukan kemahiran tinggi dalam
bidang matematik. Para ulama menganggap Saidatina Aisyah sebagai salah
seorang ahli fuqaha Islam terawal di samping Umar Ibn al-Khattab, Ali
dan Abdullah ibn Abbas. Kata baginda Rasulullah tentang dalamnya
pengetahuan Aisyah dalam Islam; ‘Pelajarilah sebahagian daripada agamamu
dari al-Humaira’,’Al-Humaira, atau ‘si merah’ adalah nama panggilan
Rasulullah kepada Saidatina Aisyah r.a.
Saidatina
Aisyah r.a. bukan sahaja memiliki ketinggian ilmu pengetahuan, bahkan
turut memainkan peranan penting dalam proses pendidikan dan pembentukan
masyarakat ketika itu. Sebagai seorang guru, beliau memiliki lisan yang
jelas dan menarik hati serta kelancaran bertutur kata beliau digambarkan
dengan begitu tinggi oleh al-Ahnaf: ‘Aku pernah mendengar ucapan dari
Abu Bakar dan Umar, dari Uthman dan Ali serta para khulafa’ hingga ke
hari ini, tetapi belum pernah aku mendengar ucapan yang lebih indah dan
lebih menarik hati dari mulut seorang pun melainkan Aisyah r.a.’
Manusia
dari segenap pelusuk tanah Arab telah pergi menemui Aisyah untuk
mempelajari ilmu yang dimilikinya. Dikatakan lebih ramai bilangan wanita
daripada lelaki yang datang untuk menimba ilmu daripada beliau. Di
samping menjelaskan kemusykilan orang ramai, beliau turut mengambil
anak-anak kecil, ada di kalangan mereka yatim piatu, untuk dibesarkan
dan dilatih di bawah bimbingannya sendiri. Di samping itu juga terdapat
saudara-saudara beliau yang mendapat bimbingan yang sama. Dengan
demikian, rumah Saidatina Aisyah r.a. dijadikan sekolah dan sebuah
institusi pengajian.
Ada
di kalangan anak-anak didikan Aisyah yang cemerlang di bawah pimpinan
beliau. Sudah disebut sebelum ini tentang anak saudara lelaki beliau
iaitu Urwah ibn az-Zubair sebagai salah seorang perawi hadith terkemuka.
Di antara pelajar wanita didikan Aisyah ialah Umrah binti Abdur Rahman.
Umrah dianggap oleh para ulama’ sebagai seorang perawi hadith yang
thiqah dan dikatakan bertindak sebagai setiausaha Aisyah r.a dalam
menerima dan menjawab surat-surat yang diterima Aisyah. Peranan Aisyah
dalam menggerakkan proses pendidikan terutamanya bagi kaum wanita
seharusnya dijadikan contoh ikutan.
Selepas
Khadijah al-Kubra (yang hebat) dan Fatimah az-Zahra (yang menawan),
Aisyah as-Siddiqah (yang membenarkan) dianggap sebagai wanita terbaik
dalam Islam. Dari keteguhan peribadinya, beliau menjadi seorang pakar
dalam setiap bidang pengetahuan, dalam masyarakat, politik bahkan
peperangan. Beliau sering menyesali penglibatannya dalam peperangan
namun dibarkahi dengan umur yang panjang berpeluang membetulkan
kedudukannya sebagai wanita paling dihormati sewaktu hayatnya. Beliau
kembali ke rahmatullah dalam bulan Ramadhan pada tahun kelima puluh
lapan selepas Hijrah. Atas arahan beliau sendiri, jasadnya disemadikan
di Jannat al-Baqi di Madinah al-Munawwarah, di kalangan sahabat baginda
Rasulullah s.a.w.
Rose A
SMS / Whatsapp : 012 577 9380
0 comments:
Post a Comment